Majlis membaca Yaa Siin, Tahlil sempena 25 tahun penubuhan Mahkamah Syariah




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 April. - Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri petang tadi mengadakan Majlis Bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil sempena 25 tahun penubuhan Mahkamah-mahkamah Syariah yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, di sini.


Majlis berkenaan adalah khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.


Hadir ialah Ketua Hakim Syar'ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan diikuti dengan bacaan Tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Awang Haji Mohammad Shah bin Haji Taip.


Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan bacaan Doa Tahlil yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Awang Haji Kaharudin bin Mohd. Ali.


Juga hadir, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Pemangku Pengarah Jabatan Kehakiman Negara, Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan di bawah Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri.


Majis antara lain bertujuan untuk memperkukuhkan nilai-nilai keagamaan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan di bawah Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri, di samping memohon keberkatan serta keredaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Close